Selamat datang ke blog saya. Semoga maklumat ini bermanfaat kepada semua.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Wednesday, September 30, 2015

KOLABORASI PELBAGAI PIHAK DAN AGENSI

 IBU BAPA

    Peranan ibu bapa terhadap anak-anak pendidikan khas ialah mereka perlulah peka terhadap perkembangan anak-anak. Dalam menentukan sesuatu proses pengajaran yang berkesan, peranan ibu bapa amat perlu untuk menjayakan pendidikan untuk anak-anak mereka. Sentiasa memberikan kerjasama dan membentuk tingkah laku dan akademik anak mereka. Ibubapa seharusnya memberi latihan kepada anak mereka sewaktu anak mereka berada di rumah dan memastikan anak mereka sentiasa menyiapkan tugasan yang diberi. Ibu bapa juga perlulah mengetahui cara untuk menangani anak-anak mereka yang memiliki kecacatan dari segi mental, emosi dan fizikal. Ibu bapa juga perlulah mengesan dengan kadar segera masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka kerana kemungkinan masalah itu dapat dipulihkan. Ibu bapa juga perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar perubatan tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Mereka juga perlulah memasang strategi yang sesuai untuk anak-anak mereka yang menghadapi masalah untuk membentuk kelakuan anak-anak itu .
    Ianya mampu memberikan kesan yang positif terhadap perkembangan anak-anak dengan seimbang dari aspek tingkah laku dan efektif. Ada segelintir ibu bapa malu mempunyai anak yang ada kad OKU dan tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa memikul beban seumur hayat mereka dengan jenama OKU tersebut. Sebahagian Ibu bapa beranggapan tidak perlu bersusah payah mengajar bersungguh-sungguh kerana mereka sedar anak mereka memang begitu. Memadai hanya pergi ke sekolah , bergaul dengan rakan dan ibu bapa boleh membuat tugas lain sementara anak ke sekolah. Itulah tanggapan yang paling pahit untuk dterima oleh seorang guru Pendidikan Khas. Perasaan kasih sayang itu bertukar kepada kasihan maka sebab itu anak mereka tidak dapat menunjukkan perkembangan dan kebolehan yang sebenar mengikut keupayaan mereka. Kesibukan ibu bapa sehingga mengurangkan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak mereka.  Bosan menghantar anak mereka ke sesi terapi  yang pada mereka tidak membawa makna apa-apa. Pada hal mereka tidak menyedari perkembangan yang berlaku pada anak-anak mereka. Malahan ibu bapa tidak menjalankan sesi tersebut di rumah secara berterusan . Selain itu, penglibatan ibu bapa dalam program pendidikan khas juga dapat memberikan semangat kepada murid-murid khas. Mereka juga akan berasa lebih yakin pada diri sendiri kerana ada yang menyokong mereka. Penglibatan ibu bapa juga dapat meningkatkan lagi perkembangan anak-anak mereka.

 GURU

    Peranan pihak sekolah seperti guru-guru juga amat penting dalam program pendidikan khas. Mengikut Kamus Dewan (Edisi Ke-4), guru adalah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan juga pengasuh. Oleh sebab itu, peranan dan tanggungjawab seorang guru sangat memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap murid. Profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan banyak hadis Rasulullah S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi menjadi guru pendidikan khas yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Peranan guru sangat besar apabila mereka dianggap sebagai pengajar kerana tugas utama guru di dalam bilik darjah adalah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran serta mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang bermoral tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah merancangkan aktiviti pengajaran yang sesuai, alat bantu mengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, melaksanakan rancangan mengajar yang telah disediakan dan membuat penilaian atas segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Melalui maklum balas yang diperoleh daripada penilaian, guru dapat menambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran yang baharu mengikut masalah perlu diwujudkan apabila penambahbaikkan diperlukan. Oleh sebab itu, guru haruslah menggunakan pendekatan yang kreatif dan kritis untuk menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran.
     Guru juga dianggap sebagai pengurus apabila mereka diperlukan untuk mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid supaya menjalankan tugas seperti menjaga kebersihan kelas, menjaga disiplin pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas yang mantap dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru pendidikan khas juga bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid mereka. Rekod peribadi mereka sangatlah penting kepada individu lain untuk mendapatkan maklumat dan sebaginya. Guru juga perlulah sentiasa mengemaskini rekod peribadi murid-murid ini supaya perkembangan terbaru mereka dapat diperbaharui. Guru juga berperanan penting untuk membentuk kanak-kanak pendidikan khas supaya mereka pandai berdikari dan menguruskan diri. Mereka juga perlulah berfikiran kreatif, inovatif dan imagenatif. Ini kerana jika guru pendidikan khas seorang yang mempunyai ciri-ciri begini ia dapat menarik minat murid-murid berkeperluan khas. Guru pendidikan khas juga perlulah membawa murid-murid berkeperluan khas melawat kawasan luar agar dapat meluaskan pengetahuan mereka tentang dunia luar.
    Selain itu, untuk melancarkan lagi perkembangan program pendidikan khas kerjasama guru pendidikan khas sangat penting. Guru pendidikan khas dan juga guru biasa perlulah berkongsi pendapat untuk mencapai objektif dalam pendidikan khas. Mereka juga boleh bertuka-tukar bahan untuk mengajar. Hal ini dapat menjimatkan lagi masa dan tenaga. Maka ketahuilah bahawa peranan guru juga sangat untuk merealisasikan aspirasi pendidikan khas.

KOMUNITI

    Komuniti berperanan dalam menerima dan mengambil berat tentang golongan orang kurang upaya (OKU). Komuniti harus lebih bersifat terbuka dan merendah diri dalam membantu dan menghulurkan bantuan kepada golongan OKU. Komuniti yang bertanggungjawab harus bersedia melibatkan diri dalamsegala program yang dianjurkan untuk golongan OKU.

BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)

    Peranan badan-badan bukan kerajaan ialah untuk mengesan dan menjalankan rawatan, pembelajaran dan penerimaan kanak-kanak berkerperluan khas. Mereka juga memberi bantuan dan nasihat kepada keluarga kanak-kanak berkerperluan khas serta mereka juga memberi penerangan kepada ibu bapa, para professional dan orang ramai. Mereka juga berperanan untuk memberi asuhan-asuhan kepada kanak-kanak berkerperluan khas dan kanak-kanak cacat anggota dan mental. Kanak-kanak ini diberi latihan mental dan fizikal. Badan-badan bukan kerajaan juga menganjurkan program-program terapi pertuturan bagi murid-murid sumbing bibir dan lelangit. Di samping itu, ia juga memberi khidmat sokongan kepada ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan ini. Mereka juga membantu murid berkeperluan khas seperti murid-murid sindrom down mendapat pelajaran serta latihan kemahiran hidup sebelum mereka dihantar ke sekolah khas kerajaan. Badan kerajaan ini juga menjalankan aktiviti seperti mengesan murid-murid buta untuk didaftar dan dirujuk. Mereka juga menjalan program tindakan awal ‘early intervention’, menjalankan program pra sekolah, memberi nasihat kepada ibu bapa dan menjalankan program penglihatan terhad. Terdapat beberapa pusat yang ditubuhkan oleh badan-badan bukan kerajaan seperti Malaysian Care, Persatuan Kanak-Kanak Cacat Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan, Persatuan Orang Buta Malaysia, Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Cleft Lip and Palate Association of Malaysia, NURY, TASPUTRA PERKIM dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

    Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan dari segi perkhidmatan kepada orang kurang upaya yang bersesuaian dengan syarat yang ditetapkan. Mereka menyediakan perkhidmatan kepada sesiapa yang mendaftar dengan mereka sahaja. Mereka juga mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar kurang upaya. Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memainkan peranan dalam menggalakkan pelbagai kemudahan bagi membolehkan OKU bergerak bebas. “ Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya Ke bangunan Awam” dirangka bagi menwajibkan bangunan baru mempunyai kemudahan akses kepada OKU. Antaranya termasuklah laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda, lif khas dengan reka bentuk yang sesuai, tempat letak kereta, tandas khas dan sebagainya.
    Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menyediakan pelbagai program untuk menjaga, membantu dan menyediakan kemudahan untuk membolehkan orang kurang upaya menjalani yang normal kehidupan. Mengadakan bantuan alat tiruan seperti anggota tiruan, tongkat, kaki palsu, tangan palsu, kalipers, kerusi roda , alat pendengaran, cermin mata khas dan alat-alat lain diberi supaya orang kurang upaya yang miskin dan berkeperluan dapat bergerak serta memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan. Usaha telah diambil untuk menyediakan lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemudahan bebas dari halangan.
    Di samping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengadakan Elaun Pekerja Cacat (EPC). Elaun insentif kepada OKU yang bekerja dan berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan bagi individu untuk menggalakkan mereka berminat bekerja. Skim ini bertujuan menggalakkan OKU berdikari dan penyenggaraan pendapatan dapat memenuhi keperluan asas kehidupan OKU dan  tanpa bergantung kepada ahli keluarga atau orang lain. OKU yang bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif  dan untuk meningkatkan taraf hidup OKU di dalam masyarakat.                                                                              
    Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyediakan faedah seperti pemeriksaan kesihatan, pemberian ubat dan kemudahan wad di hospital kerajaan secara percuma, potongan tambang perjalanan, pengecualian cukai jalan, dokumen perjalanan percuma, tambahan pelepasan cukai pendapatan, potongan duti eksais bagi pembelian kenderaan nasional dan potongan harga bagi pembelian rumah kos rendah. Latihan pemulihan seperti latihan pra vokasional, kelas akademik tidak formal, pendidikan agama, rekreasi dan aktiviti luar diberikan kepada individu orang kurang upaya kategori terencat akal sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Perlindungan dan jagaan diberi kepada orang kurang upaya yang mengalami kecacatan yang teruk.

PAKAR PERUBATAN

    Dari perspektif perubatan, kanak-kanak berkeperluan khas dilihat sebagai mengalami kecacatan atau terdiri daripada kanak-kanak kurang upaya. Oleh itu pendekatan perubatan terhadap kanak-kanak ini ialah untuk memulih atau mengubati kecacatan yang dialami. Umpamanya, usaha ke atas kanak-kanak pekak dilakukan untuk memulih pendengaran dan melatih mereka untuk bertutur. Begitu juga usaha perubatan yang dilakukan ke atas kanak-kanak buta adalah untuk memulih penglihatan mereka dengan menggunakan pendekatan teknologi dan perubatan terkini yang pesat membangun dari semasa ke semasa. Pakar perubatan merupakan kumpulan profesional yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pendidikan khas di Malaysia. Klasifikasi kanak-kanak berkeperluan khas (exceptional children) yang dilakukan oleh ahli perubatan berasaskan kepada ciri-ciri perubatan. Pengesahan sama ada seseorang kanak-kanak perlu belajar di sekolah biasa atau sekolah khas dilakukan oleh ahli perubatan.
    Biasanya ahli perubatan akan menilai kanak-kanak berasaskan kecacatan atau kekurangan yang dimiliki berdasarkan ciri-ciri perubatan. Pakar perubatan menekankan kepada pemulihan daripada kecacatan atau kekurangan. Sebab atau punca kecacatan atau kekurangan diberi fokus utama dan cadangan untuk mengatasi kecacatan berkenaan diberikan. Pemuliharaan (rehabilitation) dilakukan dengan menggunakan pelbagai kaedah perubatan dengan tujuan untuk memastikan kecacatan atau kekurangan yang ada pada seseorang itu tidak bertambah teruk. Sebaliknya, pakar pendidikan khas bermatlamat memberi pendidikan sebaik mungkin, yang bersesuaian dengan potensi yang ada pada murid berkeperluan khas dengan mengambil kira bahawa kecacatan yang ada pada seseorang bukan penghalang kepada mereka untuk mendapat dan berjaya dalam pendidikan. Kanak-kanak berkeperluan khas dilihat sebagai satu golongan manusia yang memerlukan pendidikan yang sesuai dengan kebolehan mereka. Oleh itu, kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai ciri-ciri boleh mengurus diri sendiri dan mempunyai keupayaan untuk menerima pendidikan (educable) seharusnya diterima untuk bersekolah. Terdapat enam pakar perubatan yang terlibat dalam pendidikan khas iaitu pediatrik, neurologi, terapi pertuturan, terapi fizikal, audiologi dan oftomologi. Pediatrik bertanggungjawab untuk mendiagnostik dan merawat penyakit kanak-kanak dengan mengesan punca masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut seperti genetik, kewarisan, prenatal dan postnatal. Pakar neurologi pula mendiagnostik dan mengubati penyakit yang berkaitan dengan neuorologikal seperti kecederaan otak. Ia juga mengawal hiperaktif dan masalah menumpu perhatian dengan memberikan ubat “ Ritalin” untuk mengawal kanak-kanak hiperaktif. Pakar oftomologi akan menaksirkan penglihatan pelajar.Sekiranya mereka mempunyai masalah penglihatan yang berbeza daripada kanak-kanak normal mereka memerlukan cara pengajaran yang berbeza dengan kanak-kanak normal. Kanak-kanak yang disyaki mempunyai masalah dari segi pendengaran pula akan dirujuk kepada pakar audiologi untuk mengesan fungsi pendengaran kanak-kanak tersebut. Terapi pertuturan pula diadakan untuk mengesan masalah komunikasi dari segi pertuturan dan bahasa kanak-kanak.Terapi pertuturan ini akan menggunakan pelbagai pendekatan, teknik dan cara untuk membantu kanak-kanak seperti gagap, sumbing dan kanak-kanak yang mempunyai masalah alat artikulasi untuk bertutur. Terapi fizikal pula adalah untuk menaksir fungsi-fungsi motor halus dan motor kasar kanak-kanak, melatih kemahiran hidup serta kemahiran untuk membantu diri.

No comments:

Post a Comment