Selamat datang ke blog saya. Semoga maklumat ini bermanfaat kepada semua.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sunday, September 27, 2015

Kesantunan Berbahasa

Apakah erti kesantunan?

Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik muka,dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fraser Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni dalam komunikasi. Selain itu, kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam perbualan terhadap pendengar (Brown dan Levinson, 1987).

Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar (2000) mengaitkannya dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar.

Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar sosio budaya msayarakatnya yang berpegang pada adapt resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti. Hal ini tergambar dalam perbilangan adat yang berbunyi:

“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.

Jadi, konsep kesantunan tidak lengkap jika perbincangannya terbatas kepada aspek berbahasa dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan dengan konsep keihklasan. Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah atau menunjukkan tingkah laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuan tersebut belum pasti menggambarkan keihklasannya. Manusia boleh bertopeng dengan pelbagai wajah untuk mencapai hasratnya, sedangkan hakikatnya tiada sesiapa yang tahu.


Nilai dan Kesantunan dalam Masyarakat Melayu
Nilai merujuk kepada sesuatu yang kompleks tetapi berpola dan berprinsip yang memberikan arahan dan menjadi petunjuk kepada perlakuan dan pemiikiran manusia dalam mengatasi masalah (Kluckhon dan Strodtbeck (1961). Nilai menjadi ukuran dan pegangan tentang baik buruk atau cantik hodoh sesuatu perlakuan berasaskan kelaziman atau kebiasaan dalam sesuatu masyarakat (Wan Abdul Kadir, 2000). Misalnya, kita berasa janggal apabila mendengar suami isteri mengungkapkan kata panggilan “aku” dan “kamu” dalam perbualan mereka. Perlakuan yang demikian dianggap tidak santun.

Jadi, nilai dan kesantunan mempunyai pertalian yang sangat erat. Seseorang itu dianggap tidak sopan dan tidak mengamalkan nilai yang baik apabila bercakap menggunakan bahasa yang kasar atau tidak tahu meletakkan dirinya dalam sesuatu majlis. Ketidaksopanan dan kerendahan nilai perlakuan dapat digambarkan dalam ungkapan berikut:

Ketika orang diam
Aku bersorak
Ketika orang duduk aku berdiri
Ketika orang memberi
Aku meminta
Ketika orang bekerja
Aku terlena
Ketika orang dipuncak
Aku masih merangkak.

Selain itu, nilai berbahasa juga dititkberatkan oleh orang Melayu. Maka wujudlah bentuk bahasa yang dikelaskan sebagai bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu memahami dengan siapa ia berkata, sebab ia berkata, dan dalam situasi apa dia berkata. Sesunguhnya, orang yang santun ialah orang yang tahu meletakkan dirinya dalam keadaan tertentu.

No comments:

Post a Comment