Selamat datang ke blog saya. Semoga maklumat ini bermanfaat kepada semua.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Wednesday, September 30, 2015

It's all about me


Nama diberi Nur Azlin binti Samsuddin. Berasal daripada Tawau, Sabah. Sekarang tengah study dekat IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Boleh dikatakan bakal guru lah ni. hehehe.. (Over pulak) Baru PPISMP sem 1 pun Ambilan Jun 2015 bagi subjek Pendidikan Khas. Tapi kita sedih la awak, terpaksa tinggalkan family nun jauh di sana serta rakan-rakan. Nak nangis.. opssss jangan. perjalanan masih jauh Azlin, kuatkan semangatmu..Ya la apa x nya, dahla jauh terdampar di bandar Melaka negeri bersejarah ni, tapi best gak la boleh la meneroka alam hahaha. dah la, ckup smpai sini je la coretan. nak masuk klas. bubyeeee~ Assalamualaikum
KOLABORASI PELBAGAI PIHAK DAN AGENSI

 IBU BAPA

    Peranan ibu bapa terhadap anak-anak pendidikan khas ialah mereka perlulah peka terhadap perkembangan anak-anak. Dalam menentukan sesuatu proses pengajaran yang berkesan, peranan ibu bapa amat perlu untuk menjayakan pendidikan untuk anak-anak mereka. Sentiasa memberikan kerjasama dan membentuk tingkah laku dan akademik anak mereka. Ibubapa seharusnya memberi latihan kepada anak mereka sewaktu anak mereka berada di rumah dan memastikan anak mereka sentiasa menyiapkan tugasan yang diberi. Ibu bapa juga perlulah mengetahui cara untuk menangani anak-anak mereka yang memiliki kecacatan dari segi mental, emosi dan fizikal. Ibu bapa juga perlulah mengesan dengan kadar segera masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka kerana kemungkinan masalah itu dapat dipulihkan. Ibu bapa juga perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar perubatan tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Mereka juga perlulah memasang strategi yang sesuai untuk anak-anak mereka yang menghadapi masalah untuk membentuk kelakuan anak-anak itu .
    Ianya mampu memberikan kesan yang positif terhadap perkembangan anak-anak dengan seimbang dari aspek tingkah laku dan efektif. Ada segelintir ibu bapa malu mempunyai anak yang ada kad OKU dan tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa memikul beban seumur hayat mereka dengan jenama OKU tersebut. Sebahagian Ibu bapa beranggapan tidak perlu bersusah payah mengajar bersungguh-sungguh kerana mereka sedar anak mereka memang begitu. Memadai hanya pergi ke sekolah , bergaul dengan rakan dan ibu bapa boleh membuat tugas lain sementara anak ke sekolah. Itulah tanggapan yang paling pahit untuk dterima oleh seorang guru Pendidikan Khas. Perasaan kasih sayang itu bertukar kepada kasihan maka sebab itu anak mereka tidak dapat menunjukkan perkembangan dan kebolehan yang sebenar mengikut keupayaan mereka. Kesibukan ibu bapa sehingga mengurangkan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak mereka.  Bosan menghantar anak mereka ke sesi terapi  yang pada mereka tidak membawa makna apa-apa. Pada hal mereka tidak menyedari perkembangan yang berlaku pada anak-anak mereka. Malahan ibu bapa tidak menjalankan sesi tersebut di rumah secara berterusan . Selain itu, penglibatan ibu bapa dalam program pendidikan khas juga dapat memberikan semangat kepada murid-murid khas. Mereka juga akan berasa lebih yakin pada diri sendiri kerana ada yang menyokong mereka. Penglibatan ibu bapa juga dapat meningkatkan lagi perkembangan anak-anak mereka.

 GURU

    Peranan pihak sekolah seperti guru-guru juga amat penting dalam program pendidikan khas. Mengikut Kamus Dewan (Edisi Ke-4), guru adalah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan juga pengasuh. Oleh sebab itu, peranan dan tanggungjawab seorang guru sangat memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap murid. Profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan banyak hadis Rasulullah S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi menjadi guru pendidikan khas yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Peranan guru sangat besar apabila mereka dianggap sebagai pengajar kerana tugas utama guru di dalam bilik darjah adalah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran serta mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang bermoral tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah merancangkan aktiviti pengajaran yang sesuai, alat bantu mengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, melaksanakan rancangan mengajar yang telah disediakan dan membuat penilaian atas segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Melalui maklum balas yang diperoleh daripada penilaian, guru dapat menambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran yang baharu mengikut masalah perlu diwujudkan apabila penambahbaikkan diperlukan. Oleh sebab itu, guru haruslah menggunakan pendekatan yang kreatif dan kritis untuk menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran.
     Guru juga dianggap sebagai pengurus apabila mereka diperlukan untuk mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid supaya menjalankan tugas seperti menjaga kebersihan kelas, menjaga disiplin pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas yang mantap dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru pendidikan khas juga bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid mereka. Rekod peribadi mereka sangatlah penting kepada individu lain untuk mendapatkan maklumat dan sebaginya. Guru juga perlulah sentiasa mengemaskini rekod peribadi murid-murid ini supaya perkembangan terbaru mereka dapat diperbaharui. Guru juga berperanan penting untuk membentuk kanak-kanak pendidikan khas supaya mereka pandai berdikari dan menguruskan diri. Mereka juga perlulah berfikiran kreatif, inovatif dan imagenatif. Ini kerana jika guru pendidikan khas seorang yang mempunyai ciri-ciri begini ia dapat menarik minat murid-murid berkeperluan khas. Guru pendidikan khas juga perlulah membawa murid-murid berkeperluan khas melawat kawasan luar agar dapat meluaskan pengetahuan mereka tentang dunia luar.
    Selain itu, untuk melancarkan lagi perkembangan program pendidikan khas kerjasama guru pendidikan khas sangat penting. Guru pendidikan khas dan juga guru biasa perlulah berkongsi pendapat untuk mencapai objektif dalam pendidikan khas. Mereka juga boleh bertuka-tukar bahan untuk mengajar. Hal ini dapat menjimatkan lagi masa dan tenaga. Maka ketahuilah bahawa peranan guru juga sangat untuk merealisasikan aspirasi pendidikan khas.

KOMUNITI

    Komuniti berperanan dalam menerima dan mengambil berat tentang golongan orang kurang upaya (OKU). Komuniti harus lebih bersifat terbuka dan merendah diri dalam membantu dan menghulurkan bantuan kepada golongan OKU. Komuniti yang bertanggungjawab harus bersedia melibatkan diri dalamsegala program yang dianjurkan untuk golongan OKU.

BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)

    Peranan badan-badan bukan kerajaan ialah untuk mengesan dan menjalankan rawatan, pembelajaran dan penerimaan kanak-kanak berkerperluan khas. Mereka juga memberi bantuan dan nasihat kepada keluarga kanak-kanak berkerperluan khas serta mereka juga memberi penerangan kepada ibu bapa, para professional dan orang ramai. Mereka juga berperanan untuk memberi asuhan-asuhan kepada kanak-kanak berkerperluan khas dan kanak-kanak cacat anggota dan mental. Kanak-kanak ini diberi latihan mental dan fizikal. Badan-badan bukan kerajaan juga menganjurkan program-program terapi pertuturan bagi murid-murid sumbing bibir dan lelangit. Di samping itu, ia juga memberi khidmat sokongan kepada ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan ini. Mereka juga membantu murid berkeperluan khas seperti murid-murid sindrom down mendapat pelajaran serta latihan kemahiran hidup sebelum mereka dihantar ke sekolah khas kerajaan. Badan kerajaan ini juga menjalankan aktiviti seperti mengesan murid-murid buta untuk didaftar dan dirujuk. Mereka juga menjalan program tindakan awal ‘early intervention’, menjalankan program pra sekolah, memberi nasihat kepada ibu bapa dan menjalankan program penglihatan terhad. Terdapat beberapa pusat yang ditubuhkan oleh badan-badan bukan kerajaan seperti Malaysian Care, Persatuan Kanak-Kanak Cacat Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan, Persatuan Orang Buta Malaysia, Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Cleft Lip and Palate Association of Malaysia, NURY, TASPUTRA PERKIM dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

    Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan dari segi perkhidmatan kepada orang kurang upaya yang bersesuaian dengan syarat yang ditetapkan. Mereka menyediakan perkhidmatan kepada sesiapa yang mendaftar dengan mereka sahaja. Mereka juga mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar kurang upaya. Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memainkan peranan dalam menggalakkan pelbagai kemudahan bagi membolehkan OKU bergerak bebas. “ Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya Ke bangunan Awam” dirangka bagi menwajibkan bangunan baru mempunyai kemudahan akses kepada OKU. Antaranya termasuklah laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda, lif khas dengan reka bentuk yang sesuai, tempat letak kereta, tandas khas dan sebagainya.
    Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menyediakan pelbagai program untuk menjaga, membantu dan menyediakan kemudahan untuk membolehkan orang kurang upaya menjalani yang normal kehidupan. Mengadakan bantuan alat tiruan seperti anggota tiruan, tongkat, kaki palsu, tangan palsu, kalipers, kerusi roda , alat pendengaran, cermin mata khas dan alat-alat lain diberi supaya orang kurang upaya yang miskin dan berkeperluan dapat bergerak serta memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan. Usaha telah diambil untuk menyediakan lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemudahan bebas dari halangan.
    Di samping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengadakan Elaun Pekerja Cacat (EPC). Elaun insentif kepada OKU yang bekerja dan berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan bagi individu untuk menggalakkan mereka berminat bekerja. Skim ini bertujuan menggalakkan OKU berdikari dan penyenggaraan pendapatan dapat memenuhi keperluan asas kehidupan OKU dan  tanpa bergantung kepada ahli keluarga atau orang lain. OKU yang bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif  dan untuk meningkatkan taraf hidup OKU di dalam masyarakat.                                                                              
    Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyediakan faedah seperti pemeriksaan kesihatan, pemberian ubat dan kemudahan wad di hospital kerajaan secara percuma, potongan tambang perjalanan, pengecualian cukai jalan, dokumen perjalanan percuma, tambahan pelepasan cukai pendapatan, potongan duti eksais bagi pembelian kenderaan nasional dan potongan harga bagi pembelian rumah kos rendah. Latihan pemulihan seperti latihan pra vokasional, kelas akademik tidak formal, pendidikan agama, rekreasi dan aktiviti luar diberikan kepada individu orang kurang upaya kategori terencat akal sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Perlindungan dan jagaan diberi kepada orang kurang upaya yang mengalami kecacatan yang teruk.

PAKAR PERUBATAN

    Dari perspektif perubatan, kanak-kanak berkeperluan khas dilihat sebagai mengalami kecacatan atau terdiri daripada kanak-kanak kurang upaya. Oleh itu pendekatan perubatan terhadap kanak-kanak ini ialah untuk memulih atau mengubati kecacatan yang dialami. Umpamanya, usaha ke atas kanak-kanak pekak dilakukan untuk memulih pendengaran dan melatih mereka untuk bertutur. Begitu juga usaha perubatan yang dilakukan ke atas kanak-kanak buta adalah untuk memulih penglihatan mereka dengan menggunakan pendekatan teknologi dan perubatan terkini yang pesat membangun dari semasa ke semasa. Pakar perubatan merupakan kumpulan profesional yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pendidikan khas di Malaysia. Klasifikasi kanak-kanak berkeperluan khas (exceptional children) yang dilakukan oleh ahli perubatan berasaskan kepada ciri-ciri perubatan. Pengesahan sama ada seseorang kanak-kanak perlu belajar di sekolah biasa atau sekolah khas dilakukan oleh ahli perubatan.
    Biasanya ahli perubatan akan menilai kanak-kanak berasaskan kecacatan atau kekurangan yang dimiliki berdasarkan ciri-ciri perubatan. Pakar perubatan menekankan kepada pemulihan daripada kecacatan atau kekurangan. Sebab atau punca kecacatan atau kekurangan diberi fokus utama dan cadangan untuk mengatasi kecacatan berkenaan diberikan. Pemuliharaan (rehabilitation) dilakukan dengan menggunakan pelbagai kaedah perubatan dengan tujuan untuk memastikan kecacatan atau kekurangan yang ada pada seseorang itu tidak bertambah teruk. Sebaliknya, pakar pendidikan khas bermatlamat memberi pendidikan sebaik mungkin, yang bersesuaian dengan potensi yang ada pada murid berkeperluan khas dengan mengambil kira bahawa kecacatan yang ada pada seseorang bukan penghalang kepada mereka untuk mendapat dan berjaya dalam pendidikan. Kanak-kanak berkeperluan khas dilihat sebagai satu golongan manusia yang memerlukan pendidikan yang sesuai dengan kebolehan mereka. Oleh itu, kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai ciri-ciri boleh mengurus diri sendiri dan mempunyai keupayaan untuk menerima pendidikan (educable) seharusnya diterima untuk bersekolah. Terdapat enam pakar perubatan yang terlibat dalam pendidikan khas iaitu pediatrik, neurologi, terapi pertuturan, terapi fizikal, audiologi dan oftomologi. Pediatrik bertanggungjawab untuk mendiagnostik dan merawat penyakit kanak-kanak dengan mengesan punca masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut seperti genetik, kewarisan, prenatal dan postnatal. Pakar neurologi pula mendiagnostik dan mengubati penyakit yang berkaitan dengan neuorologikal seperti kecederaan otak. Ia juga mengawal hiperaktif dan masalah menumpu perhatian dengan memberikan ubat “ Ritalin” untuk mengawal kanak-kanak hiperaktif. Pakar oftomologi akan menaksirkan penglihatan pelajar.Sekiranya mereka mempunyai masalah penglihatan yang berbeza daripada kanak-kanak normal mereka memerlukan cara pengajaran yang berbeza dengan kanak-kanak normal. Kanak-kanak yang disyaki mempunyai masalah dari segi pendengaran pula akan dirujuk kepada pakar audiologi untuk mengesan fungsi pendengaran kanak-kanak tersebut. Terapi pertuturan pula diadakan untuk mengesan masalah komunikasi dari segi pertuturan dan bahasa kanak-kanak.Terapi pertuturan ini akan menggunakan pelbagai pendekatan, teknik dan cara untuk membantu kanak-kanak seperti gagap, sumbing dan kanak-kanak yang mempunyai masalah alat artikulasi untuk bertutur. Terapi fizikal pula adalah untuk menaksir fungsi-fungsi motor halus dan motor kasar kanak-kanak, melatih kemahiran hidup serta kemahiran untuk membantu diri.

Pendidikan Khas

KHIDMAT SOKONGAN DALAM PENDIDIKAN KHAS
    Berdasarkan dua artikel yang saya telah baca tentang khidmat sokongan, khidmat sokongan merupakan satu kumpulan orang yang mempunyai kepakaran dan keperihatan dalam kerja – kerja sosial . Mereka terdiri daripada para professional yang mahir dalam bidang tertentu dan bekerja secara berpasukan dan tidak berdasarkan bayaran. Mereka dikenali sebagai Pasukan pelbagai Disiplin.Khidmat Sokongan biasanya dalam bentuk bantuan atau pertolongan seperti khidmat kepakaran, penasihat, kemudahan, perundangan, kewangan atau psikologi dalam menangani murid- murid pendidikan khas bagi mencapai matlamat pendidikan. Perkembangan khidmat sokongan telah bermula sekitar tahun 1970-an apabila  ahli-ahli psikologi percaya bahawa konsultasi perlu dipermudahkan. Menjelang tahun 1980-an khidmat sokongan mula mendapat perhatian dalam pendidikan khas (Cook &Friend,1991a) Beliau juga telah mendefinisikan khidmat sokongan sebagai satu gaya perhubungan secara langsung sekurang-kurangnya antara dua kumpulan yang bersetuju dalam membuat keputusan untuk mencapai matlamat yang sama. Menurut Sher dan Baur (1991), khidmat sokongan sepenuhnya merangkumi interaksi setiap anggota di sekolah yang melibatkan antara guru dengan ibu bapa murid-murid khas,guru,ibu bapa dan murid-murid lain dalam kelas biasa. Kefahaman tentang murid-murid khas bukan hanya dapat membantu pihak sekolah membantu mereka tetapi juga menghargai kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada anggota sekolah.Khidmat sokongan dalam pendidikan khas telah diperluaskan dalam kalangan guru-guru khas, guru-guru biasa, ibu bapa, murid dan agensi khidmat masyarakat. Penglibatan keluarga menjadi agenda yang penting dalam tahun     1990-an. Hal ini telah menyebabkan terbentuknya kolaborasi kumpulan pelbagai disiplin. Kolaborasi ialah perkembangan dan pengekalan yang positif, hormat-menghormati, perhubungan egalitarian dan saling bekerjasama dalam menyelesakan sesuatu masalah dan perkongsian dalam membuat sesuatu keputusan melalui proses perundingan. Kolaborasi adalah usahasama di antara beberapa pihak, kumpulan, organisasi atau disiplin untuk melaksanakan sesuatu projek. Usaha ini diperlukan kerana sumbangan dan peranan mereka yang berbeza-beza dapat membantu kanak-kanak tersebut. Pihak-pihak yang terlibat dalam kolaborasi pendidikan khas di sekolah ialah kaki tangan sekolah seperti guru besar, guru pendidikan khas, pentadbir dan staf sokongan sekolah, pakar-pakar perubatan, terapi, jurupulih, patologis, jururawat, motivator, ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga. persatuan-persatuan dalam komuniti, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan dan organisasi bukan kerajaan (NGO).
    Antara sebab mengapa perlunya ada kolaborasi dan kerjasama di antara pelbagai disiplin dalam pendidikan khas di sekolah adalah kerana untuk menjalankan diagnosis tentang ketidakupayaan dan tahap kanak-kanak pendidikan khas, setiap jenis ketidakupayaan dan tahapnya memerlukan pengendalian yang berbeza caranya, membuat keputusan secara berpasukan tentang penempatan jenis persekolahan kanak-kanak pendidikan khas, setiap kanak-kanak pendidikan khas yang mengalami masalah yang berlainan memerlukan latihan kemahiran dan kemudahan peralatan yang berbeza, pendidikan khas memerlukan bantuan tenaga yang ramai untuk dikendalikan, setiap kanak-kanak khas mempunyai masalah sampingan yang berkait rapat dengan masalah kefungsian dan kebolehan untuk belajar perlu dirujuk kepada beberapa pakar, pendidikan khas memerlukan sumber kewangan yang besar dengan mengabungkan tenaga dan peralatan dari pelbagai pihak dapat mengurangkan beban ini dan akhir sekali masalah tingkah laku dan pembelajaran dalam kelas biasanya dapat diselesaikan dengan lebih efektif jika terdapat usahasama antara pihak-pihak tertentu terutama sekali guru dan ibu bapa.

Monday, September 28, 2015

Nombor Kompleks

Nombor kompleks ialah gabungan nombor nyata dan nombor khayalan. Nombor kompleks mempunyai bentuk:
a + bi \,
di mana a dan b ialah nombor nyata, dan i ialah unit khayalan. i bersamaan dengan \sqrt{-1}. a dipanggil bahagian nyata nombor itu, dan b dipanggil bahagian khayalan. Nombor nyata boleh disebut sebagai nombor kompleks dengan b = 0, manakala nombor khayalan pula boleh disebut sebagai nombor kompleks dengan a = 0.
Contohnya, 3 + 2i ialah sebuah nombor kompleks dengan bahagian nyata 3 dan bahagian khayalan 2. Katakan z = a + bi, bahagian nyatanya ditulis \mathrm{Re}(z) atau \mathfrak{R}(z), manakala bahagian khayalannya ditulis \mathrm{Im}(z) atau \mathfrak{I}(z).
Nombor kompleks boleh dicampur, ditolak, didarab dan dibahagi seperti nombor nyata, tetapi dengan sifat lain. Contohnya, nombor nyata sendiri tidak boleh memberi jawapan untuk semua persamaan polinomial, manakala nombor khayalan boleh.
Dalam beberapa bidang (terutamanya kejuruteraan elektrik) di mana i ialah simbol untuk arus elektrik, unit khayalan ditulis j.

Kesamaan

Dua nombor kompleks adalah sama jika dan hanya jika bahagian-bahagian nyatanya sama dan bahagian-bahagian khayalannya sama. Dalam kata lain, jika dua nombor komples ditulis sebagai a + bi dan c + di dengan a, b, c, dan d adalah nyata, maka kedua-dua nombor itu adalah sama jika dan hanya jika a = c dan b = d.

Operasi-operasi

Nombor kompleks boleh dicampur, ditolak, didarab, dan dibahagi dengan mengenakan hukum-hukum kalis sekutuan, kalis tukar tertib, dan kalis agihan, serta persamaan i^2 = -1:
Campur
\,(a + bi) + (c + di) = (a + c) + (b + d)i
Tolak
\,(a + bi) - (c + di) = (a - c) + (b - d)i
Darab
\,(a + bi) (c + di) = ac + bci + adi + bd i^2 = (ac - bd) + (bc + ad)i
Bahagi
\,\frac{a + bi}{c + di} = \left({ac + bd \over c^2 + d^2}\right) + \left( {bc - ad \over c^2 + d^2} \right)i,
di mana c dan d bukan sifar. Ini diperoleh dengan mendarab pengangka dan penyebut dengan konjugat penyebut c + di, iaitu (c - di).
Konjugat
Konjugat untuk nombor kompleks z = a + ib adalah z' = a - ib
  • Z' = Z
  • (Z1+ Z2)' = Z'1 + Z'2
  • (Z1.Z2 )' = Z1' .Z2'
  • (Z1 / Z2 )' = Z'1 / Z2 '

Kata Nama (Tatabahasa)

KATA NAMA

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009), golongan kata nama Bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan,iaitu (i) Kata Nama Am, (ii) Kata Nama Khas, dan (iii) Kata Ganti Nama.


KATA NAMA
a. Kata Nama Am
b. Kata Nama Khas
c.  Kata Ganti Nama


A. Kata Nama Am
Menurut Tatabahasa Dewan (2009), Kata Nama Am ialah perkataan yang merujuk benda,perkara, konsep umum sifatnya.

a.  Benda - alam, dunia, cakerawala, pokok, orang
b.  Perkara - iklim, cahaya, roh, udara, hisapan.
c.  Konsep-kedamaian, perpindahan, keadilan.

Latihan
Berdasarkan petikan di bawah, sila kenal pasti kata nama am hidup manusia.

CARTAGENA (Sepanyol): Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bercadang menubuhkan sebuah pusat latihan kapal selam di pangkalannya di Teluk Sepanggar, Sabah yang akan menempatkan dua kapal selam jenis Scorpene.
"Kita akan menjalankan latihan di negara sendiri,dan kita memperoleh alat simulator bagi melatih warga kapal selam," kata Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar kepada pemberita Malaysia pada raptai pelancaran kapal selam kedua jenis Scorpene di limbungan Navantia di sini, kelmarin.
Seramai 142 pegawai dan anggota TLDM menjalani latihan di perancis untuk mengendalikan kedua-dua kapal selam TLDM itu.

B.  Kata Nama Khas
Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009),kata nama khas ialah bentuk kata yang merujuk khusus orang, empat, atau benda. 
Contohnya:  Kuala Lumpur, Ahmad,  Masjid Negara.

Jenis-jenis Kata Nama Khas
Menurut Tatabahasa Dewan (2009), kata nama khas membawa makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula boleh dibahagikan lagi kepada kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia. Pembahagian kata nama khas demikian boleh ditunjukkan melalui rajah yang berikut:

Jenis Kata Nama Khas
1) Hidup
-  Manusia
-  Bukan Manusia

2) Tak Hidup

a) Kata Nama Khas Hidup

i) Kata Nama Khas Hidup Manusia- Jamil, Puteri Salbiah, Sharifah Aini
ii) Kata Nama Khas Hidup Bukan Manusia- Sang Kancil, Si Tompok, Pak Belang

b) Kata Nama Khas Tak Hidup

i) Benda- Proton, Piala Malaysia
ii) Institusi- Universiti Malaya, Wisma Putra
iii) Tempat- Ipoh, Tokyo
iv) Bahasa/Bangsa- Inggeris, Melayu
v)Konsep- Dasar Ekonomi Baru, Akta Hasutan

Sunday, September 27, 2015

Kesantunan Berbahasa

Apakah erti kesantunan?

Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik muka,dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fraser Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni dalam komunikasi. Selain itu, kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam perbualan terhadap pendengar (Brown dan Levinson, 1987).

Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar (2000) mengaitkannya dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar.

Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar sosio budaya msayarakatnya yang berpegang pada adapt resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti. Hal ini tergambar dalam perbilangan adat yang berbunyi:

“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.

Jadi, konsep kesantunan tidak lengkap jika perbincangannya terbatas kepada aspek berbahasa dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan dengan konsep keihklasan. Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah atau menunjukkan tingkah laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuan tersebut belum pasti menggambarkan keihklasannya. Manusia boleh bertopeng dengan pelbagai wajah untuk mencapai hasratnya, sedangkan hakikatnya tiada sesiapa yang tahu.


Nilai dan Kesantunan dalam Masyarakat Melayu
Nilai merujuk kepada sesuatu yang kompleks tetapi berpola dan berprinsip yang memberikan arahan dan menjadi petunjuk kepada perlakuan dan pemiikiran manusia dalam mengatasi masalah (Kluckhon dan Strodtbeck (1961). Nilai menjadi ukuran dan pegangan tentang baik buruk atau cantik hodoh sesuatu perlakuan berasaskan kelaziman atau kebiasaan dalam sesuatu masyarakat (Wan Abdul Kadir, 2000). Misalnya, kita berasa janggal apabila mendengar suami isteri mengungkapkan kata panggilan “aku” dan “kamu” dalam perbualan mereka. Perlakuan yang demikian dianggap tidak santun.

Jadi, nilai dan kesantunan mempunyai pertalian yang sangat erat. Seseorang itu dianggap tidak sopan dan tidak mengamalkan nilai yang baik apabila bercakap menggunakan bahasa yang kasar atau tidak tahu meletakkan dirinya dalam sesuatu majlis. Ketidaksopanan dan kerendahan nilai perlakuan dapat digambarkan dalam ungkapan berikut:

Ketika orang diam
Aku bersorak
Ketika orang duduk aku berdiri
Ketika orang memberi
Aku meminta
Ketika orang bekerja
Aku terlena
Ketika orang dipuncak
Aku masih merangkak.

Selain itu, nilai berbahasa juga dititkberatkan oleh orang Melayu. Maka wujudlah bentuk bahasa yang dikelaskan sebagai bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu memahami dengan siapa ia berkata, sebab ia berkata, dan dalam situasi apa dia berkata. Sesunguhnya, orang yang santun ialah orang yang tahu meletakkan dirinya dalam keadaan tertentu.

Pemanasan Global

Pemanasan Global

Pemanasan global atau pemanasan sejagat berkaitan dengan peningkatan suhu dunia. Suhu bumi telah meningkat dua darjah dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu. Kajian mendapati kawasan Artik lebih pantas menjadi panas berbanding kawasan lain. Perubahan iklim biasanya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun tetapi kini perubahan iklim berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja, jarak hanya 2 generasi sahaja.
Suhu bumi meningkat sejak tahun-tahun 90an. Kajian mendapati iklim panas melampau di Perancis, iklim lebih panas di rantau Siberia dan pencairan "permafrost" (lapisan tanah yang kekal beku di rantau paling sejuk) terutamanya di rantau Artik. Ahli sains meramalkan keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas 2099. Litupan ais Greenland dan Antartika Barat akan mencair . Paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter secara mendadak.

Faktor Pemanasan Global

Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Cuaca (IPCC) ditubuhkan pada 1988 oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia serta Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kegiatan terasnya adalah menyemak dan menilai maklumat saintifik, teknikal dan sosio-ekonomi yang terkini. Saintis alam sekitar telah ditempatkan dipelbagai lokasi strategik dan mengumpulkan laporan ilkim dan cuaca seluruh dunia secara sistermatik. Dapatan daripada kajian ini amat memeranjatkan terutama berhubung tentang faktor pemanasan global dan kesan jangka pendek dan panjang daripadanya.
  • Laporan 1 (1990) dan Laporan 2 (1995) IPCC menunjukkan banyak ketidakpastian iklim dunia dan bersifat negatif . Pemanasan global ini akan menjejaskan manusia atau tamadunnya.
  • Laporan ketiga (2001) berkisar kepada "Menangani Perubahan Iklim.
  • Laporan Penilaian Keempat tentang (Perubahan Iklim 2007) .
Kajian mendapati 98 % punca pemanasan global ialah pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang telah dilakukan sejak abad ke-18. . Perubahan penggunaan tanah menyumbang 30 peratus pelepasan karbon dioksida. Kesan rumah hijau lebih hebat dan iklim dunia akan berubah secara mendadak, tanpa dapat dibendung lagi.

Kesan Pemanasan Global di Malaysia

Sumber ekosistem yang ada telah digunakan ke paras maksimum dengan penangkapan ikan berlebihan dan pemupusan kawasan besar hutan. Enam bilion penduduk dunia kini menggunakan sumber asli bumi secara berlebihan dan tidak terkawal . Jika pemanasan global berterusan , manusia dan tamdunnya akan pupus sebagaimana pupusnya dinosaur.
Ramalan saintis menunjukkan peningkatan 7.0 meter paras laut, kawasan rendah seperti Kuala Muda (Kedah) dan Kelantan akan ditenggelami air. Keadaan monsun akan bertukar sama sekali kerana kita akan menerima lebih banyak hujan sewaktu monsun timur laut, yang bermakna lebih banyak kejadian banjir.
Kesedaran rakyat Malaysia dan amnya masyarakat dunia sukar ditingkatkan. Bukan semua rakyat Malaysia tidak prihatin kepada isu-isu alam sekitar. Kejadian gempa bumi 26 Disember 2004 dan banjir besar di Johor adalah pengajaran terbaik. Mendidik bukanlah untuk membuat mereka cemas tetapi meminta mereka bertindak secara betul dan tepat.